Karangan yang baik haruslah diolah dengan mengembangkan isi, iaitu menghuraikannya sambil mengemukakan bukti atau contoh yang sesuai. Kebiasaannya murid menghadapi masalah untuk mengolah atau mengembangkan isi karangan . Mereka selalunya menghadapi masalah untuk mengembangkan isi tersebut agar menjadi satu kesatuan idea dalam perenggan-perenggan karangan. Isi tersebut perlu dikembangkan menjadi satu pertautan idea antara satu perenggan dengan perenggan yang lain.
Teknik Mengolah Karangan dengan Menggunakan Formula
1. Pendahuluan |
i. IKCHF (IKCHF- Isi, Kesan, Contoh, Huraian, Fokus soalan)
Contoh perenggan pendahuluan 1
Statistik kemalangan jalan raya seringkali meningkat pada musim perayaan utama negara kita. (I) Hal ini telah menyebabkan banyak kecederaan berlaku dalam kalangan pengguna jalan raya di samping banyak juga nyawa manusia yang terkorban. (K) Sebagai contoh, kadar kemalangan biasanya meningkat pada musim perayaan utama. (C) Jumlah kemalangan jalan raya tentunya membimbangkan banyak pihak. (H) Oleh hal yang demikian, usaha pihak berkuasa perlu ditingkatkan bukan sahaja pada musim perayaan tetapi juga pada hari-hari biasa untuk mengurangkan kes kemalangan jalan raya daripada terus meningkat di negara kita. (F)
Contoh perenggan pendahuluan 2
Terdapat projek perumahan yang terbengkalai atau tidak disiapkan oleh pemaju perumahan di negara kita. (I) Hal ini sudah tentu akan menyusahkan pembeli-pembeli rumah yang mengharapkan rumah mereka disiapkan mengikut jadual yang telah ditetapkan. (K) Terdapat beberapa kes seperti ini yang berlaku di Kuala Langat, Gombak dan Hulu Langat, iaitu seperti yang dilaporkan oleh media massa arus perdana. (C) Perkara ini tentunya meresahkan bakal pembeli rumah yang sedang berkira-kira untuk membeli rumah. (H) Oleh itu, terdapat beberapa kesan yang timbul daripada masalah tersebut dan usaha-usaha perlu diambil oleh pelbagai pihak untuk menangani masalah ini. (F)
2. Isi Karangan |
i. 5W1H (Apa, Siapa, Mengapa, Bila, Di mana dan Bagaimana)
Contoh perenggan isi
Kemalangan jalan raya yang berlaku kebanyakannya berpunca daripada sikap pengguna jalan raya yang cuai. Mereka biasanya tidak menumpukan perhatian semasa memandu kenderaan di jalan raya. (A) Kebiasaannya juga mereka menggunakan telefon bimbit semasa memandu kenderaan ataupun memandu dalam keadaan mengantuk. (M) Keadaan ini seterusnya menyebabkan pemandu kenderaan hilang kawalan dan seterusnya menyebabkan berlakunya kemalangan. (Ba) Oleh hal yang demikian, pengguna jalan raya perlu berhati-hati dan tidak cuai semasa memandu kenderaan di jalan raya agar kemalangan dapat dielakkan daripada berlaku. Hal ini bertepatan dengan pepatah Melayu iaitu beringat sebelum kena dan janganlah sudah terhantuk baru nak tengadah. (M) (79 perkataan)
ii. Individu dan Keluarga (Inke), Masyarakat (Kawan, Jiran dan Sekolah), Negara, Teknologi, dan Antarabangsa.(InkeManeTekA)
Contoh perenggan isi
Salah satu punca penagihan dadah adalah disebabkan oleh pengaruh rakan sebaya. (Kawan) Para ramaja biasanya mudah terpengaruh oleh perbuatan yang dilakukan oleh rakan-rakan mereka. Selain itu mereka juga ingin tahu dan ingin mencuba perkara tersebut. Hal ini biasanya akan menyebabkan mereka ketagih terhadap dadah.
iii. Inikah Hasilnya Cinta (IKHC – Isi, Kesan, Huraian, Contoh)
Contoh perenggan isi
Aktiviti sukan yang kita lakukan boleh menyihatkan badan kita. (I) Hal ini dikatakan demikian kerana semasa kita bersukan, badan kita akan mengeluarkan peluh. (K) Seterusnya perkara ini berlaku disebabkan oleh jantung kita bekerja kuat dan mengepam darah ke seluruh badan. (H) Contoh aktiviti sukan yang boleh kita lakukan adalah seperti bermain bola sepak, badminton, hoki, dan berjoging. (C)
3. Penutup / Kesimpulan |
i. KCAH – Kesimpulan, Cadangan, Ancaman, Harapan)
Contoh perenggan kesimpulan
Kesimpulannya, masalah rasuah perlulah ditangani segera oleh pihak berkuasa di negara kita. (K) Oleh hal yang demikian, pihak berkuasa perlulah mengadakan kempen secara besar-besaran tentang keburukan rasuah. Kempen tersebut bolehlah dijalankan di media-media massa arus perdana dan juga melalui ceramah yang dijalankan oleh pegawai-pegawai Badan Pencegah Rasuah. (C) Hal ini dikatakan demikian kerana jika masalah rasuah tidak diatasi sudah tentu akan merosakkan jentera pentadbiran negara. Jika jentera pentadbiran negara kita rosak sudah pasti kita semua yang akan menerima padahnya.(A) Perkara ini bertepatan dengan ungkapan, lebih baik mencegah daripada mengubati sesuatu penyakit.(H) Jadi, kita semua berharap agar masalah ini dapat ditangani dengan berkesan sebelum berleluasa atau menjadi lebih serius. (H)
ii. Kena Hati-Hati (Kesimpulan, Hurai, Harapan)
Contoh perenggan kesimpulan
Kesimpulannya semua pihak perlu bekerjasama untuk membanteras jenayah yang berlaku di negara kita. (K) Anggota masyarakat perlulah membantu pihak berkuasa dengan melaporkan kejadian jenayah yang berlaku dengan segera. (H) Dengan cara itu, masalah jenayah diharapkan dapat dikurangkan dan dibanteras daripada terus berleluasa. Seterusnya, hal ini membolehkan masyarakat di negara kita ini hidup dalam keadaan aman, tenteram dan harmoni.(H)
Penutup
Teknik yang dibincangkan tadi diharapkan dapat membantu murid-murid dalam menghuraikan dan mengembangkan isi karangan dengan baik. Diharapkan juga murid-murid dapat membina setiap perenggan karangan dengan teratur dan seimbang. Perenggan pendahuluan, perenggan isi, dan perenggan kesimpulan akan menjadi seimbang jika olahan dan huraian dirancang dengan baik dan jumlah perkataan yang dikehendaki akan dapat dipenuhi oleh murid-murid. Di samping itu, murid-murid juga dinasihatkan agar membaca bahan-bahan bacaan yang relevan dan sesuai untuk membantu proses pengolahan dan pengembangan isi karangan. Murid-murid turut digalakkan membaca suratkhabar Utusan Malaysia dan Berita Harian, majalah Dewan Masyarakat, Dewan Siswa, Pelita Bahasa, Fokus, Kosmik, dan sebagainya. Selain itu, murid-murid juga dinasihatkan supaya banyak berlatih untuk mengembangkan isi karangan supaya tidak menghadapi masalah semasa berada di dalam dewan peperiksaan. Selamat mencuba formula yang dicadangkan ini.
Oleh Mohd Khir Kassim (2008)