26 Apr
26Apr

KARANGAN UMUM

  1. Terdapat dua bentuk karangan, iaitu karangan berformat dan karangan tidak berformat.
  2. Antara jenis karangan berformat ialah:
    • surat rasmi
    • surat tidak rasmi
    • laporan
    • minit mesyuarat
    • berita
    • rencana
    • dialog / wawancara / forum
    • ucapan / syarahan / ceramah / taklimat
    • ulasan buku / resensi
  3. Antara jenis karangan tidak berformat pula ialah:
    • gambaran / keperihalan
    • cereka / imaginasi
    • fakta
    • pendapat / perbincangan
    • perbahasan
    • peribahasa / cogan kata
    • kesusasteraan


Formula Penulisan Karangan


PENDAHULUAN (anggaran 70 patah perkataan)

Pendahuluan = Teknik FACLK


Sebenarnya, terdapat banyak cara untuk menulis pendahuluan karangan seperti yang terdapat dalam buku-buku panduan menulis karangan di pasaran. Ada penulis yang menyarankan pelbagai cara seperti pendahuluan jenis definisi, sejarah, berdasarkan pandangan tokoh-tokoh dan sebagainya. Selain itu, terdapat pelbagai teknik telah diperkenalkan untuk memudahkan murid berfikir dan menulis pendahuluan karangan tersebut. Antaranya dengan menggunakan teknik FACLK yang diperkenalkan oleh Mohd Khir Kassim. Diharapkan teknik ini akan meningkatkan pengetahuan dan kemahiran murid untuk menulis pendahuluan karangan, selain teknik yang biasa digunakan oleh murid-murid sebelum ini.

Teknik FACLK

F - Fokus

A - Akibat

C - Contoh

L - Langkah

K - Kepentingannya


Teknik ini memerlukan murid-murid membina ayat pertama dengan merujuk kepada fokus penyataan (F) dalam soalan. Kemudian, ayat kedua, iaitu akibat (A) daripada ayat pertama tadi. Selepas itu, bina pula ayat ketiga, iaitu contoh (C) yang boleh dikaitkan dengan penyataan soalan. Seterusnya, murid-murid perlu membina ayat keempat, iaitu langkah (L) dan ayat kelima ialah kepentingannya (K) berdasarkan langkah yang telah diambil tadi. Kemudian, masukkan peribahasa atau gunakan ungkapan menarik (UM), yang dirasakan sesuai dalam mana-mana ayat pendahuluan itu tadi. Jika murid-murid dapat menulis ayat yang ada pertalian rapat antara satu ayat dengan ayat yang lain, sudah pasti pendahuluan itu menjadi satu pendahuluan yang menarik dan mantap serta menepati kehendak skema pemeriksa.
 

Soalan Contoh 1
Kerajaan telah berusaha untuk membanteras gejala rasuah, namun amalan yang berakar umbi dalam kalangan masyarakat ini masih wujud. Pada pendapat anda, mengapakah masalah rasuah perlu dibendung?

Perenggan Pendahuluan Contoh 1
Kebelakangan ini, kes rasuah semakin bertambah dan nampaknya sukar dibanteras kerana melibatkan pegawai kerajaan dan swasta, ahli politik, dan orang awam. (F) Keadaan ini membimbangkan kita kerana jika dibiarkan, sudah tentu perkara ini akan menjadi seperti api di dalam sekam. (A) Fenomena ini sekali gus akan melahirkan masyarakat yang tiada integriti, contohnya jika seseorang pegawai menawarkan rasuah untuk menutup kesalahan dirinya daripada landasan undang-undang, jelaslah betapa rendahnya akhlak dan maruah dirinya. (C) Oleh itu, semua pihak harus berusaha untuk membanteras gejala rasuah agar masyarakat Malaysia yang amanah dan berintegriti dapat dilahirkan(L) Hal ini perlu dititikberatkan kerana rasuah perlu dibanteras dari awal, iaitu mencegah lebih baik daripada mengubati sesuatu penyakit. (K)


Peringatan:

  • Baca arahan dengan teliti dan gariskan kata kunci dan fokus arahan.
  • Jangan sesekali memasukkan isi dalam perenggan pendahuluan.


ISI (anggaran 80 patah perkataan X 5 ISI = 400 patah perkataan)

Isi = Teknik IMBaKUP


Dalam teknik ini, murid perlu menyoal diri sendiri bagi mendapatkan soalan yang diperlukan menggunakan kata tanya siapa, apa, berapa, bila, di mana, bagaimana, mengapa (SiABeBiDiBaM). Namun begitu, soalan yang ditanya tidak perlu dimasukkan dalam penulisan. Hanya jawapan sahaja yang dinyatakan.

I = Isi (apa) (1 ayat)

M = Mengapa (3 - 4 ayat)

Ba = Bagaimana (contoh) (2 - 3 ayat)

K = Kesan contoh yang menyokong isi (2 - 3 ayat)

P = Penegas (1 ayat)


CONTOH TEKNIK IMBaKUP

TAJUK: Peranan ibu bapa untuk menangani gejala sosial

Isi: 

- memberikan didikan agama

Mengapa: 

1. menjadi benteng pertahanan diri yang paling ampuh untuk menangkis anasir-anasir negatif yang dibawa masuk melalui tingkap globalisasi

2. panduan hidup yang berkesan daripada terjerumus ke lembah kehinaan

3. dapat membezakan permata dengan batu kelikir

Bagaimana:   

1. mendidik sejak kecil lagi amal makruf nahi mungkar - melentur buluh biar dari rebungnya

2. memastikan anak-anak tidak meninggalkan solat - solat itu tiang agama - mampu mencegah kemungkaran

Kesan: 

1. takut balasan Tuhan - tidak terlibat dalam gejala sosial

2. dapat melahirkan modal insan yang beriman dan berakhlak mulia

Ungkapan Menarik: 

Albert Eistein, “Agama tanpa ilmu akan buta, ilmu tanpa agama akan lumpuh.” 

Penegas: 

Didikan agama yang mantap merupakan elemen / wahana / wadah yang berkesan untuk mengekang gejala sosial daripada meruncing.


Contoh Perenggan Isi yang Lengkap

Peranan ibu bapa yang signifikan untuk menangani gejala sosial pada hari ini ialah ibu bapa perlulah memberikan didikan agama yang teguh kepada anak-anak. (ISI) Hal ini dikatakan demikian kerana agama merupakan benteng pertahanan diri yang paling ampuh untuk menangkis anasir-anasir negatif yang dibawa masuk melalui tingkap globalisasi. Dengan adanya didikan agama juga anak-anak dapat membezakan permata dengan batu kelikir kerana mereka telah menjadikan agama sebagai panduan hidup yang paling afdal daripada terjerumus ke lembah kehinaan seperti vandalisme, gengsterisme, merempit, ponteng sekolah dan sebagainya. Tanpa agama, kehidupan seseorang itu akan menjadi terumbang-ambing ibarat kapal tanpa nakhoda. (MENGAPA) Oleh itu, ibu bapa perlulah memberikan didikan agama sejak kecil lagi kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Dengan ini, mereka akan sentiasa melakukan amal makruf nahi mungkar. Bukan itu sahaja, ibu bapa bapa haruslah memastikan anak-anak tidak meninggalkan solat kerana solat itu tiang agama yang mampu mencegah kemungkaran. (BAGAIMANA) Sebagai kesan, anak-anak yang memiliki didikan agama yang mantap akan berasa takut akan balasan Tuhan lalu tidak terlibat dalam gejala sosial yang akan merosakkan masa depan mereka. Secara implisitnya, usaha kerajaan untuk modal insan yang beriman dan berakhlak mulia dapat dilahirkan serta gejala sosial dapat ditangani. (KESAN) Benarlah kata Albert Eistein, “Agama tanpa ilmu akan buta, ilmu tanpa agama akan lumpuh.” (UNGKAPAN MENARIK) Izharlah bahawa didikan agama yang mantap merupakan antara wahana yang berkesan untuk mengekang gejala sosial daripada meruncing. (PENEGAS)


PENANDA WACANA ISI DAN PERKEMBANGANNYA

1.      Isi pertama

-          Salah satu langkah yang signifikan ialah ...

-          Salah satu punca yang memangkin kepada masalah ini ialah

2.      Isi yang seterusnya

-          Selain itu,

-          Jika kita lihat / tinjau / kaji dari sudut / dimensi / perspektif yang berbeza, …

-          Seperkara lagi,

-          Pada masa yang sama,

-          Meninjau dari skop yang lebih luas,

-          Dari kaca mata yang lain,

-          Di samping itu,

-          Sementara itu,

-          Lebih-lebih lagi,

-          Seperkara lagi,

3.      Penanda wacana MENGAPA

-          Hal ini dikatakan / berlaku demikian kerana

-          Hal ini berlaku / terjadi kerana

-          Hal ini disebabkan oleh

-          Hal ini wujud akibat daripada

-          Hal ini bersangkut-paut dengan

-          Hal ini berpunca daripada

-          Hal ini tercetus apabila

-          Hal ini timbul apabila

-          Dalam konteks / hal ini

* * * ‘Hal’ boleh ditukarkan kepada senario / situasi / kemelut / masalah / fenomena

4.      Penanda wacana CONTOH:

-          Tamsilnya,

-          Buktinya,

-          Hal ini dapat kita lihat

-          Misalannya,

-          Contohnya / Sebagai contoh,

-          Misalnya,

-          Biar kita lihat/ Biar kita ambil contoh

-          Bagi membuktikan perkara ini, contoh yang boleh diketengahkan ialah

-          Contoh yang ketara yang paling dekat dengan kita ialah

5.      Penanda wacana KESAN CONTOH

-          Sehubungan dengan itu,

-          Ekoran daripada peristiwa / isu itu,

-          Rentetan daripada hal itu,

-          Lanjutan daripada ...,

-          Implikasinya / impaknya,

-          Kesannya,

-          Natijahnya, ... (kesan negatif sahaja)

6.      Penanda memulakan atau memasukkan PERIBAHASA

-          bak / persis kata peribahasa, ...

-          bak / persis kata peribahasa Melayu, ...

-          bak / persis kata orang tua-tua, ...

-          bak / persis kata mutiara, ...

-          bak / persis kata peribahasa, ...

-          bak / persis kata cendekiawan, ...

-          Hal ini sama dengan peribahasa ...

-          Senario ini persis dengan peribahasa Melayu, yakni ...

-          Fenomena ini dikatakan ...

-          Masalah ini sama dengan peribahasa ...

7.      Penanda wacana PENEGAS

-          Ringkasnya

-          Tegasnya,

-          Izharlah bahawa

-          Sesungguhnya,

-          Pendek kata,

-          Jadi, 

-          Oleh itu,


Peringatan :

  • Setiap isi mestilah ditulis dalam satu perenggan sahaja. 
  • Tidak boleh menggabungkan 2 isi dalam satu perenggan.
  • Tidak boleh menulis 1 isi dalam beberapa perenggan (dikira sebagai mengulang isi).



PENUTUP (anggaran 70 patah perkataan)

Penutup  = Teknik KCH


Teknik KCH
K - Kesimpulan
C - Cadangan
H - Harapan


3 jenis ayat penting:

(a)    Ayat KESIMPULAN ISI-ISI 
(penanda wacana penutup + kata kunci (punca / kesan / langkah) + tema)
Contoh: 
Bulan semakin terang, bayang kian jelas bahawa beberapa langkah yang dapat diimplementasikan oleh (sasaran) ibu bapa untuk (tema) mewujudkan keluarga yang bahagia


(b)   Ayat CADANGAN (…perlulah / hendaklah / haruslah / seyogianya)
Contoh: 
Namun begitu, obligasi untuk menangani masalah jenayah di negara kita tidak seyogianya diletakkan atas pundak kerajaan sahaja. Oleh itu, semua pihak tanpa mengenal batasan usia dan warna kulit perlulah bersinergi ibarat ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni untuk menangani masalah ini hingga akar umbi. / Kita haruslah berganding bahu dan menggembleng tenaga serta mempunyai  semangat tinggi setinggi Gunung Everest, seluas Banjaran Himalaya, sedalam Jurang Mariana dalam membendung isu ini daripada membarah sebelum terlewat kerana sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya.


(c)    Ayat HARAPAN.
Contoh:
  • Komitmen padu daripada semua pihak diharapkan impian untuk mencapai visi kudsi negara iaitu Wawasan 2020 tidak akan menjadi omongan kosong dan angan-angan Mat Jenin.
  • Diharapkan impian negara untuk melahirkan modal insan yang cemerlang, gemilang dan terbilang akan menjadi realiti dan nama negara akan sentiasa gah di pentas dunia.
  • Jika perpaduan dapat dipupuk maka impian negara untuk mencapai Gagasan Satu Malaysia akan menjadi kenyataan dan sekali gus Wawasan 2020 dapat dicapai dengan mudah untuk memastikan Malaysia dapat duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan negara-negara gergasi di persada antarabangsa.
  • Hubungan ukhuwah antara semua pihak dapat merealisasikan impian untuk mencapai tahap negara kelas pertama seperti kata falsafah Confusius, apakah gunanya sekiranya kita tidur sebantal tetapi mimpi kita lain-lain, lebih baik kita tidur bantal yang berlainan, tetapi mimpi kita tetap sama.
  • Wahai anak watan Malaysia, sahutlah cabaran dan hadapilah dengan semangat habis kapak berganti beliung (semangat rajin bekerja) / biar putih tulang, jangan putih mata(semangat berjuang bersungguh-sungguh) untuk menunaikan impian nusa tercinta ini ke arah cemerlang, gemilang dan terbilang! Malaysia Boleh!

Penanda wacana ayat penutup karangan
(a) Sebagai intiha,
(b) Akhir kalam / Akhirulkalam,
(c) Sudah terang lagi bersuluh bahawa…
(d) Bulan semakin terang, bayang kian jelas bahawa…
(e) Secara tuntasnya,
(f) Sebagai konklusinya
(g) Berdasarkan cambahan minda di atas, konklusi yang dapat dibuat adalah sukar untuk menafikan bahawa 
(h) Sebagai penghias bicara akhir,
(i) Secara keseluruhan,
(j) Secara total,

CONTOH 1 -  Pengaruh luar yang dihadapi oleh remaja

            Secara analoginya, bayang kian jelas bahawa terdapat banyak pengaruh luar yang dihadapi oleh para remaja di negara kita. (Kesimpulan) Oleh itu, semua pihak haruslah bekerjasama bagai aur dengan tebing untuk mengatasi masalah ini. Tindakan mengharapkan pihak kerajaan untuk menyelesaikan masalah ini semata-mata tidak berkesan kerana bertepuk sebelah tangan tidak akan berbunyi. (Cadangan) Jika masalah pengaruh luar dalam kalangan remaja dapat dihapuskan, remaja yang merupakan pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara  dapat melaksanakan tanggungjawab dan obligasi masing-masing untuk memacu pembangunan negara. Jika remaja kita tidak diasuh, dibimbing dan dididik dengan kamil, tidak mustahil segala aspirasi negara hanya sekadar imaginasi semata-mata dan tidak menjadi realiti. Oleh sebab itu, remaja kita perlu terjaga daripada lena dan keasyikan serta melengkapkan diri dengan ciri-ciri yang mulia supaya dapat menempatkan diri sebagai modal insan yang cemerlang, gemilang dan terbilang. Secara implisitnya, negara kita dapat berdiri gah di pentas antarabangsa bergandingan dengan negara maju yang lain dan terkenal di seantero dunia. Imej negara juga akan harum di persada dunia dan masyarakat Malaysia akan dianggap sebagai masyarakat kelas pertama kerana ketinggian akhlaknya bak kata pujangga, “Sesungguhnya bangsa akan kekal utuh jika akhlaknya masih utuh. Jika akhlaknya sudah lumpuh, mereka pun akan lenyap.” (Harapan)

CONTOH 2 - Peranan ibu bapa untuk mendidik anak menjaga kebersihan

            Sebagai penutup kata pemanis bicara, bulan semakin terang, bayang kian jelas bahawa ibu bapa memainkan peranan yang singnifikan untuk mendidik anak-anak supaya menjaga kebersihan. Anak-anak apabila diajar erti kasih sayang, mereka akan mengasihi. Apabila diajar erti kebaikan mereka akan belajar bertanggungjawab dan apabila diajar erti kebersihan mereka akan belajar menjadi harmoni. (Kesimpulan) Oleh itu, ibu bapa sentiasa menjadi rujukan dan terminologi utama untuk menentukan jati diri anak-anak. Walau bagaimanapun, kita tidak seharusnya menunding jari kepada ibu bapa sahaja untuk memikul tanggungjawab ini. Semua pihak seyogianya bekerjasama ibarat ke buki sama didaki, ke lurah sama dituruni supaya remaja di negara kita dapat mementingkan kebersihan pada masa hadapan. Amalan kebersihan ini amatlah penting bagi seseorang individu, sekumpulan masyarakat dan sesebuah negara. Sebuah negara yang maju berakarkan masyarakat yang sihat dan cergas. Oleh itu, remaja yang merupakan aset negara dan bakal menerajui pemerintahan negara haruslah mementingkan kebersihan di negara kita. (Cadangan) Nelson Mandela pernah berkata, “Jika hendak melihat sesebuah negara, lihatlah generasi mudanya.” Jika remaja kita mementingkan kebersihan dalam kehidupan maka negara kita akan disegani oleh negara lain lantas menjadi terkenal di seantero dunia. (Harapan)


Peringatan:

  • Jangan memasukkan isi dalam kesimpulan.
  • Perenggan kesimpulan haruslah seimbang dengan perenggan pendahuluan.
  • Mesti masukkan ayat cadangan dan harapan.
Comments
* The email will not be published on the website.
I BUILT MY SITE FOR FREE USING